Sistem Tenaga
Adenosina trifosfat (ATP) ialah
sumber tenaga utama untuk menjalankan kerja harian dan aktiviti sukan yang
menggunakan penguncupan otot. Sumber utama yang membekalkan ATP untuk kerja
biologi dan mekanikal individu datang daripada bahan makanan, iaitu
karbohidrat, lemak dan protein.
Bahan makanan berkarbohidrat akan
ditukar kepada glukosa setelah pencernaan. Glukosa berlebihan akan disimpan
sebagai glikogen di otot dan di hati. Glukosa akan ditukar ke ATP sebagai
tenaga melalui satu tindak balas kimia di dalam sel mitokondria.
Bahan makanan yang mempunyai lemak
akan ditukar kepada asid lemak dan trigliserida. Lemak yang berlebihan akan
disimpan sebagai tisu adipos di bawah kulit dan sebahagiannya dalam darah.Trigliserida
pula tersimpan dalam otot. Jika diperlukan, asid lemak dan trigliserida akan
ditukarkan kepada ATP melalui proses tindak balas kimia.
Protein digunakan untuk menghasilkan
ATP dalam situasi yang tertentu. Jika seseorang tidak mendapat makanan yang
mencukupi atau mengalami kebuluran yang berpanjangan, maka penghasilan ATP
melalui protein akan berlaku.
Semasa menjalankan aktiviti fizikal,
sistem tenaga digunakan untuk menghasilkan ATP. Penghasilan tenaga ini
bergantung pada jangka masa dan intensiti aktiviti tersebut. Terdapat tiga
sistem tenaga, iaitu anaerobik alaktik (ATP-PC), anaerobik laktik dan aerobik.
Anaerobik
alaktik
Aktiviti yang melibatkan masa yang
singkat dan berintensiti tinggi seperti lari pecut 100meter dan berenenang
25meter memerlukan tenaga serta merta yang dibekalkan daripada penguraian
Adinosina Trifosfat (ATP) dan Fosfokreatin (PC). Ia juga dikenali sebagai
sistem fosfagen.
Hanya
sebahagian kecil ATP disimpan di dalam sel-sel otot dan ia perlu dibina semula
untuk mengelakkan daripada kehabisan. PC yang juga tersimpan di dalam sel-sel
otot membantu membina semula ATP. Simpanan PC di dalam sel-sel hanya dapat
bertahan beberapa saat sahaja di dalam latihan yang berintensiti tinggi dan
merupakan sumber utama bekalan ATP semasa beberapa saat pertama larian pecutan.
Dengan latihan yang rapi keupayaan sistem ini boleh ditingkatkan.
Anaerobik
laktik
Apabila simpanan PC di dalam sel-sel
otot kehabisan, glikogen di dalam otot yang terdiri daripada unit-unit glukosa
yang dikumpul bersama dan merupakan simpanan karbohidrat di dalam badan,
melalui proses yang dipanggil glikosos berpecah menjadi asid pyruvic dan menukar menjadi asid laktik dengan
ketiadaan oksigen. Pengumpulan asid laktik di dalam otot akan menganggu peroses
penguncupan dan melambatkan pergerakan dan akhirnya menyebabkan kelesuan. Aktiviti
yang berintensiti tinggi seperti larian 400m dan renang 100m yang mengambil
masa 45-60 saat akan membawa kepada kelesuan.
Sistem
aerobik
Sumber tenaga panjang melibatkan pengeluaran ATP
daripada berbagai bahan bakar dengan penggunaan oksigen. Sumber utama ialah
karbohidrat dan lemak. Pengeluaran ATP melalui sistem ini agak perlahan
berbanding dengan sistem yang lain dan memakan masa 2-3 minit kerana oksigen
perlu disalurkan ke otot melalui saluran darah. Dengan kehadiran oksigen asid pyruvic berpecah menjadi karbon
dioksida dan air dan membebaskan ATP yang banyak, lebih daripada sistem yang
lain.
Di dalam acara sukan yang memakan masa yang panjang
seperti marathon seseorang pelari mungkin terpaksa melambatkan larian ataupun
berhenti kerana kehabisan bahan bakar glikogen dan terpaksa menggunakan bahan
bakar yang lain seperti protein untuk menamatkan larian.
No comments:
Post a Comment